Diselar tembak zirafah hitam cetus kemarahan ramai - Utusan Malaysia

Diselar tembak zirafah hitam cetus kemarahan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 3 Julai – Tindakan seorang wanita dari Kentucky bergambar dengan bangkai seekor zirafah hitam yang dibunuhnya di Afrika Selatan mencetuskan kemarahan netizen selepas gambar itu tular di media sosial.

Ribuan pengguna Twitter meluahkan kemarahan mereka terhadap Tess Thompson Talley, 37, kerana membunuh zirafah berkenaan ketika bercuti untuk berburu, pada musim panas lalu.

“Doa saya untuk julung-julung kalinya dalam seumur hidup saya menjadi kenyataan hari ini! Melihat zirafah jantan berbulu hitam yang jarang ditemukan dan saya menghendap haiwan itu agak lama,” tulis Talley dalam akaun Facebooknya menurut USA Today.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zirafah itu yang biasanya mempunyai jangka hayat selama 25 tahun, berusia lebih 18 tahun dan mempunyai berat dua tan.

Usaha untuk mendapatkan komen Talley gagal.

Gambar Talley hanya tular selepas ia dimuat naik semula di Twitter bulan lalu oleh laman sesawang Africalandpost dan kritikan terhadap wanita terbabit meningkat dengan pantas.

Aktres, Debra Messing yang terkenal dalam siri Will and Grace menyifatkan Talley sebagai menjijikkan, jahat, tidak bermoral, tidak berhati perut dan pembunuh yang mementingkan diri.

Pelakon komedi, Ricky Gervais yang kerap memuat naik status mengenai isu pemeliharaan haiwan menyifatkan Talley sebagai menjelikkan dan kecewa kerana haiwan itu tersenarai dalam spe­sies terancam.

Talley dalam satu emel kepada Fox News, bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan mendakwa zirafah itu merupakan ahli sub-spesies Afrika Selatan dan haiwan tersebut bukannya sukar ditemui.

Menurut BBC, berburu haiwan besar di Afrika Selatan adalah dibenarkan ketika industri itu dan pelancongan berkaitan menjana sebanyak AS$2 bilion pada setiap tahun. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN