Didenda RM1,800 kerana kahwin budak 11 tahun - Utusan Malaysia

Didenda RM1,800 kerana kahwin budak 11 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 9 Julai – Mahkamah Rendah Syariah di sini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM1,800 terhadap seorang peraih getah yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Hakim Mohd Surbaineey Hussain menjatuhkan hukuman terhadap Che Abdul Karim Che Hamid sebanyak RM900 bagi setiap pertuduhan selepas tertuduh mengaku mengaku bersalah terhadap kedua-dua kesalahan itu.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut dia boleh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, Che Abdul Karim didapati telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun pada 18 Jun lalu di Masjid Mukim Muno, Sungai Golok Narathiwat Thailand tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim Syarie.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen Seksyen 19 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No.6/2002 Negeri Kelantan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 40(2) enakmen yang sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah melangsungkan perkahwinan poligami dengan kanak-kanak tersebut pada tarikh dan tempat sama tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim Syarie.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Enakmen sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie (kanan), Nor Azizi Abdul Rahman yang memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi kesalahan yang dilakukan selepas mengambil kira kehadiran dan pengakuan salah tertuduh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN