KUALA LUMPUR 3 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) optimis merealisasikan ibu negara sebagai antara bandar raya terbersih di dunia menjelang tahun 2020 melalui Program blueprint penarafan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pelan strategi itu kini mencapai kejayaan sebanyak 70 peratus sejak dilaksanakan pada tahun 2015.
“Kami yakin Kuala Lumpur mampu mencipta sejarah sebagai bandar raya terbersih dua tahun lagi. Setakat ini usaha yang melibatkan 11 parlimen itu berada di peringkat ketiga.
“Walaupun Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara lain seperti Jepun, saya percaya dengan kerjasama daripada orang ramai ia mampu dilaksanakan,” katanya di sini malam ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program blueprint penarafan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff. – UTUSAN ONLINE











