Cuti Jumaat perlu kajian terperinci – Tengku Abdullah - Utusan Malaysia

Cuti Jumaat perlu kajian terperinci – Tengku Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT 29 Julai – Cadangan supaya Jumaat dijadikan hari cuti mingguan untuk negeri ini memerlukan kajian mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kajian itu melibatkan pandangan pelbagai pihak termasuk orang Islam, bukan Islam, sektor korporat dan pendidikan.

“Saya perlu masa sedikit untuk membuat tinjauan dan pendirian.

“Saya tidak boleh komen saya boleh bersetuju atau tidak ketika ini,” titah baginda selepas berkenan menghadiri Mesyua­rat Agung Tahunan Badan Kebajikan Kerabat-kerabat Negeri Pahang Ke-22 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec), di sini semalam.

Yang hadir sama mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar.

Baginda mengulas tentang cadangan mengubah cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu di negeri ini yang hangat dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Cadangan daripada Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar yang juga ADUN Tanjung Lumpur itu mendapat bantahan beberapa wakil rakyat lain.

Tengku Abdullah bertitah, pada masa ini, tiada perbincangan dibuat berhubung perkara tersebut.

Titah baginda, berdasarkan reaksi semasa dibahaskan dalam persidangan DUN, usul ber­kenaan mempunyai kesan baik dan buruk.

“Di situ sudah ada gambarannya. Tetapi secara realitinya kita perlu tinjauan lebih terperinci dalam hal ini,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN