LONDON – Jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov sudah bersedia untuk mengejutkan rakan sejawatnya di Sepanyol Fenando Hierro sekali lagi apabila kedua-dua pasukan turun berentap pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2018 FIFA malam ini.
Pasukan tuan rumah itu telah memberi kejutan dalam kempen di tanah air mereka setakat ini dengan mara ke pusingan kalah mati sebagai pasukan ranking dunia paling rendah.
Cherchesov menjadi nadi penting buat kelab Spartak Moscow pada 1991 apabila pasukannya menewaskan Real Madrid dalam kempen Piala Eropah di mana jaringannya membantu kemenangan 3-1 ke atas kelab gergasi Sepanyol itu 3-1 di Santiago Bernabeu.
Ketika itu, Hierro merupakan pertahanan tengah Real dan pertemuan malam ini di Stadium Luzhniki dilihat sebagai ulangan episod 27 tahun yang lalu di mana kedua-duanya kini menjadi jurulatih pasukan kebangsaan masing-masing.
“Pada masa itu, pasukan dari Sepanyol adalah pilihan, tetapi dalam pepatah Rusia ada mengatakan ‘semua orang boleh menjadi dewa jika dia berusaha’.
“Fernando Hierro seorang bekas pemain yang bagus dan kini dia juga seorang jurulatih yang bagus. Kami menang ke atas pasukan kelab Sepanyol dan harapnya kami dapat mengulangi kejayaan sama Ahad ini ( malam ini) dan buktikan keupayaan sebanar kami,” kata Cherchesov.
Selepas mengemudi pasukannya mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Arab Saudi dan Mesir dalam kempen ini, Cherchesov kini diangkat sebagai wira negaranya.
“Kami telah memikirkan strategi sejak empat atau lima hari lepas dan kejayaan kami hari ini adalah bukan sesuatu yang mudah. Sebab itu ia dipanggil ‘kejayaan’.
Namun dia sedar ia bukan sesuatu yang mudah untuk menewaskan Sepanyol yang mula mendapat rentak terbaiknya sejak Hierro dilantik sebagai pengendali sementara.
Cherchesov berharap status sebagai juara 2010 dan pasukan pilihan itu akan memberi beban yang besar buat Sepanyol malam ini.
“Jelas sekali perlawanan ini menjadi penentu, ia perlawanan hidup dan mati. Hanya satu pasukan sahaja yang akan layak.
“Saya tidak berasa tertekan, saya anggap ia sebagai satu tanggungjawab. Sepanyol yang juga merasai perkara yang sama dan begitu juga dengan Rusia,” jelasnya. – Agensi










