Buang sampah, anda dibunuh! - Utusan Malaysia

Buang sampah, anda dibunuh!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekitar hujung 90-an, lambakan telefilem yang diterbitkan dalam bentuk video cakera padat (VCD) menjadi satu fenomena yang melanda industri lakonan tempatan hinggalah memasuki era awal milenium.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berbagai-bagai jenis genre diterbitkan sama ada komedi, drama, romantik, seram mahupun ngeri termasuklah sebuah karya popular berjudul Blok 404, arahan Silver Chong.

Terkini, di bawah syarikat produksi DBI Entertainment dengan kerjasama AIFA Motion Pictures Sdn. Bhd., Blok 404 diberi nafas baharu oleh pengarah Azma Aizal Yusoof atau Isma Yusoof untuk diangkat ke layar perak.

Menyorot kehidupan bebas sekumpulan remaja yang menginap di sebuah banglo dinamakan Blok 404 terletak jauh di kawasan pedalaman, Isma menyuntik kelainan supaya naskhah sulungnya di pawagam dapat diterima baik oleh peminat filem Melayu.

Di sebalik kisah misteri yang menyelubungi kehidupan pemilik dan penghuni di banglo berkenaan, Isma cuba menyedarkan audiens mengenai masalah kronik berkaitan alam sekitar yang melanda masyarakat setempat.

Mengangkat isu pembuangan sampah merata-rata, sekali gus mencemar alam sekitar, Isma cuba memupuk kesedaran sivik dalam kalangan penonton meskipun penghasilan Blok 404 adegan penuh saspens dan mengerikan.

“Ya, 17 tahun lalu ketika era penerbitan VCD, Blok 404 dikenali sebagai sebuah karya seram dan ngeri dek berlakunya pembunuhan di sebuah banglo.

“Tema seram dan ngeri itu masih dikekalkan, namun mengikut acuan saya tersendiri. Permulaan babak yang berkait rapat penjagaan alam sekitar adalah perkara utama yang ingin ditonjolkan.

“Disebabkan sikap manusia yang alpa dan leka dalam menjaga alam semula jadi, akhirnya menjadi penyebab mereka dibunuh secara kejam oleh seseorang yang obses terhadap isu kebersihan,’ jelasnya.

Isma berkata demikian usai majlis pratonton filem berkenaan yang diadakan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Blok 404 yang menemui penonton pada Khamis lalu diterbitkan oleh penerbit kontroversi, Datuk Boy Iman, manakala penerbit eksekutifnya adalah Kam Abd. Manap.

Membariskan pelakon-pelakon terkenal, selain Boy Iman sendiri, bintang lain yang terlibat ialah Zamarul Hisham, Raja Azrey, Risteena Munim, Nadia Brian, Adrea Abdullah, Amar Asyraf, Fasha Sandha, Aedy Ashraf, Kamal Adli, Kilafairy, Taufiq Hanafi, Izreen Azminda dan Azrel Ismail.– IFQDAR RAHMAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN