PUTRAJAYA 19 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik dua agensi kerajaan dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemerhati dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang akan diadakan pada 4 Ogos ini.
Setiausaha SPR, Datuk Mohamad Elias Abu Bakar berkata, dua agensi tersebut adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala NGO terbabit adalah Bersih 2.0, Persatuan Orang Kota Bharu, Kelab Pemikir Politik Nasional dan Engage.
“Skop pemerhatian bagi pemerhati ini ialah melibatkan proses penamaan calon, perjalanan kempen pilihan raya, pengurusan undi pos dan proses semakan isi peti undi.
“Selain itu, mereka juga akan terlibat dalam memerhati proses pengundian, proses pengiraan undi dan perjumlahan rasmi undi serta pengumuman keputusan,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada pemerhati PRK DUN Sungai Kandis di sini hari ini.
Menurut Mohamad Elias, pihaknya berharap pemerhati yang dipilih dalam PRK kali ini dapat bersikap berkecuali dan membuat penilaian ke atas proses pengundian berdasarkan peraturan dan tatacara yang ditetapkan SPR.
Pilihan raya kecil DUN tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafie akibat kanser pada awal bulan ini. – UTUSAN ONLINE










