PUTRAJAYA 10 Julai – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan belum menyerahkan notis atau makluman penuh kepada Singapura berhubung keputusannya bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR)
Perdana Menteri berkata, walau bagaimanapun Kerajaan Singapura sedia maklum dengan apa yang Malaysia akan lakukan.
“Merujuk kepada kerajaan Singapura, kita masih belum menyerahkan sebarang notis penuh (kepada mereka).
“ Namun mereka sedia maklum apa yang kita mahu lakukan,” katanya selepas menyampaikan perutusan khas pada Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.
Dr. Mahathir mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, semalam bahawa Singapura masih menunggu jawapan balas rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek mega berkenaan.-UTUSAN ONLINE.










