LABIS 1 Julai – Kepemimpinan Veteran UMNO negeri ini meminta semua ahli parti serta pemimpin baharu yang dipilih di semua peringkat supaya berusaha membawa parti itu ke pangkal jalan dan tidak melupakan sejarah perjuangannya.
Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Yunus berkata, rakyat telah mula menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak beberapa pilihan raya umum yang lalu.
“Ahli UMNO tidak mempunyai pilihan selain belajar sejarah jika mahu memastikan UMNO mampu bangkit pada masa akan datang.
“Jelas apa yang berlaku bagi ahli dan kepempimpinan UMNO sebelum ini, mereka terlupa keris Taming Sari yang menjadi lambang parti telah menikam dan membunuh UMNO kerana melupakan sejarah,” katanya dalam ucapan penangguhan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labis di Dewan Semai Bakti Felda Tenang, di sini semalam.
Dakwanya, kepempimpinan di semua peringkat tidak pernah mahu belajar sejarah dan terlalu selesa dengan keadaan sebelum ini sehingga tidak memperdulikan nasihat serta teguran ahli-ahli.
Katanya, ahli akar umbi melihat pucuk pimpinan hanya memberi fokus terhadap tiga perkara, iaitu mengiakan apa yang pemimpin perkatakan, menyembunyikan kepincangan yang berlaku serta mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.
Tegasnya, terdapat perbezaan antara orang UMNO dan ahli UMNO, iaitu orang UMNO tidak akan lari walau apa jua keadaan yang dialami oleh parti, sebaliknya ahli UMNO melarikan diri semasa berdepan cabaran.
“Selain itu, sudah sampai masanya UMNO memastikan setiap ahli UMNO mempunyai kualiti, bukan hanya berbangga dengan jumlah ahli serta cawangan yang banyak semata-mata.
“Jumlah ahli yang ramai serta cawangan yang banyak tidak menjamin kekuatan parti sekiranya ahli dan cawangan tidak berkualiti.
“Justeru, bukan sahaja ahli tetapi pucuk pimpinan perlu berubah,” katanya.











