SEBERANG PERAI – Gara-gara terpengaruh dengan rakan yang dikenali menerusi aplikasi WeChat, seorang gadis tingkatan satu didakwa menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita pada Disember tahun lalu.
Tindakan terkutuk itu terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis dan suspek yang menggunakan nama YM di laman sosial itu dicekup di sebuah pusat beli-belah di Perai di sini kira-kira pukul 2 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan suspek yang menyamar sebagai wanita itu sejak Mei tahun lalu menerusi aplikasi tersebut.
“Gadis itu mengenali suspek kerana mahu belajar cara untuk membesarkan payudara dan mangsa juga telah menghantar gambar payudaranya kepada suspek bagi berkongsi perubahan (saiz payudara).
“Mangsa telah terpedaya dan menyangka suspek adalah seorang perempuan berdasarkan gambar profil WeChat milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan semalam.










