Azam pengadil 
bola sepak wanita Mesir - Utusan Malaysia

Azam pengadil 
bola sepak wanita Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di tepi padang bola sepak mini di sebuah universiti di Kaherah, Mesir baru-baru ini, Hanan Hassan terkenang kata-kata ibu salah seorang pemain perempuan sewaktu dia mula menjadi pengadil bola sepak.

“Dengan suara yang cukup kuat dia menjerit ke arah saya: ‘Semoga Tuhan merahmati awak anakku’. Saya berharap anak saya sendiri akan menjadi seperti awak,” kata Hanan, 37, mengimbas detik itu penuh bangga.

Sejak sekian lama pengadil-pengadil bola sepak wanita di Mesir ditugaskan untuk perlawanan-perlawanan bola sepak bertaraf rendah tetapi kini mereka di landasan untuk mengadili liga premier.

“Rakan-rakan sekerja saya di luar negara sudah pun mengadili perlawanan lelaki di negara mereka, mengapa tidak di Mesir?” soal rakannya yang juga seorang pengadil, Mona Atalla. Atalla, 37, ketika ditemui dipertanggungjawabkan mengadili perlawanan persahabatan bola sepak wanita di Universiti Ain Shams, Kaherah.

Harapan

Ketika Hanan memulakan kerjayanya sebagai pengadil profesional pada tahun 2006, Atalla pula lebih awal. Atalla merupakan salah seorang daripada kumpulan pengadil wanita pertama yang didaftarkan di Mesir pada tahun 1998 yang dibenarkan mengadili kejohanan wanita atau kanak-kanak lelaki.

Namun selepas bertahun-tahun, Atalla dan rakannya, Pousy Said akhirnya pada April lalu dibenarkan untuk mengadili perlawanan dalam liga divisyen dua dan tiga lelaki.

Keputusan oleh jawatankuasa pengadil Persatuan Bola Sepak Mesir itu membangkitkan harapan bahawa pengadil wanita suatu hari nanti akan memegang kad merah dan kuning dalam liga tertinggi negara itu.

Atalla sudah berkhidmat untuk kejohanan wanita antarabangsa termasuk Piala Dunia bawah 20-tahun.

“Kepakaran kami bukan suatu ancaman kepada pengadil-pengadil lelaki. Peraturan adalah sama dan ia perlu dilaksanakan,” tambahnya. Hanan yang turut memegang lesen pengadil antarabangsa mendakwa wanita sebenarnya mempunyai kelebihan di padang bola. “Jika permainan bola sepak lelaki itu membawa kepada keganasan, kewujudan seorang pengadil wanita akan menyebabkan sesetengah pemain cuba bertindak lebih budiman,” katanya yang berdiri di padang sambil berhijab.

Perubahan

“Secara semula jadi, saya akan membuat keputusan dengan senyuman, jadi saya menyerap kemarahan seseorang di hadapan saya,” katanya. Di Mesir, hanya terdapat 15 wanita yang berkhidmat sebagai pengadil bola sepak daripada 60 pengadil berdaftar di negara itu, menurut ketua jawatankuasa pengadil, Azab Haggag.

Dia melihat tidak ada alasan untuk wanita tidak mengendalikan perlawanan-perlawanan berprofil tinggi.

“Tetapi ia perlu dilakukan secara beransur-ansur jadi peminat akan lebih bersedia dan menerimanya,” ujarnya. Atalla yang abang dan suaminya juga pengadil berkata, dia melihat perubahan sikap masyarakat tahun demi tahun.

Pada awalnya, sesetengah orang melihatnya sebagai pelik apabila wanita bermain bola sepak, apatah lagi menjadi pengadil dengan keputusan terletak di tangannya.

“Namun apabila tugas itu dipraktikkan oleh wanita dengan sempurna, masyarakat sudah mula menjadi sangat bangga dengan kelibatnya di atas padang,” kata Atalla.

Ironinya, semasa pengadil-pengadil wanita bergelut untuk diberikan kepercayaan, Haggag berkata, persatuan turut menerima beberapa aduan daripada pemain-pemain wanita. Norhan Hamdy, seorang gadis berusia 21 tahun yang bermain bola sepak mewakili sebuah universiti ialah salah seorang pemain yang menentang pengadil wanita.

“Sebagai seorang wanita, saya lebih suka lelaki mengadili permainan saya,” kata Hamdy yang percaya sesetengah pengadil wanita dipengaruhi emosi dan pilih kasih kepada kawan-kawan mereka.

Berazam untuk melihat pengadil wanita dinaikkan ke liga lebih tinggi, Atalla berkata prejudis seperti itu harus diperangi: “Kami mesti lawan pemikiran sedemikian.” – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN