Ayu bukan 'mangsa' mana-mana pihak - Utusan Malaysia

Ayu bukan ‘mangsa’ mana-mana pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 5 Julai – Ayu, kanak-kanak perempuan 11 tahun yang bernikah dengan seorang peraih getah berusia 41 tahun baru-baru ini, tidak boleh dianggap menjadi ‘mangsa’ mana-mana pihak sama ada suaminya, Che Abdul Karim Che Hamid atau keluarganya sendiri.

Ketua Pendakwa Raya Syarie negeri, Zaini Sulaiman berkata, beliau telah menerima kertas siasatan lengkap berkaitan kes tersebut dan secara umumnya, pihaknya mendapati tiada unsur seksual, keganasan atau paksaan dalam pernikahan antara Ayu dan suami.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan pendakwaan terhadap Che Abdul Karim kerana melakukan dua kesalahan iaitu berpoligami tanpa kebenaran dan berkahwin tanpa kebenaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak boleh ulas perkara ini lagi kerana saya perlu meneliti lebih lanjut kertas siasatan dibuat oleh pegawai kita. Cuma kesimpulan awal kita dapati tidak timbul soal niat bernikah kerana nafsu si suami, atau kanak-kanak itu dipaksa.

“Pernikahan itu sebaliknya lebih kepada untuk menjaga kebajikannya. Dia (Ayu) bukan seorang mangsa sebagaimana yang kita sangka,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Jabatan Pendakwaan Syariah Kelantan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Zaini dilaporkan berkata, beliau belum pernah menerima kes perkahwinan di bawah umur 16 tahun sejak menjadi hakim di Mahkamah Syariah pada 2001 hingga 2007 di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, Che Abdul Karim boleh didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran dan berkahwin tanpa kebenaran mengikut Seksyen 23 iaitu Kebenaran Berpoligami dan Seksyen 19 iaitu Kebenaran Perlu Sebelum Akad Nikah.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN