Awas golongan tidak sah kutip zakat - Utusan Malaysia

Awas golongan tidak sah kutip zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’, Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bakal bertindak tegas termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menipu menggunakan nama institusi itu, demi menjaga nama baik institusi tersebut.

Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab bertindak mengutip zakat menggunakan nama PPZ-MAIWP adalah tindakan yang sangat tidak beramanah, malah boleh merosakkan nama institusi tersebut selain boleh memberi kesan besar kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, tindakan seumpama itu bukan sahaja satu bentuk penipuan besar kepada orang ramai yang ingin berzakat dan menyucikan harta, malahan satu bentuk kezaliman apabila mengambil hak golongan yang sepatutnya menerima bantuan zakat iaitu kumpulan asnaf lapan.

Menurutnya, terdapat beberapa kes seumpama itu telah berlaku sebelum ini dan pihak PPZ-MAIWP mengambil maklum isu tersebut sebagai satu perkara serius yang perlu ditangani segera.

“Sudahlah kumpulan yang bertindak mengutip zakat itu menggunakan nama PPZ-MAIWP dalam membuat kerja-kerja tidak sepatutnya, pastinya mereka juga tidak mempunyai tauliah daripada pihak berwajib untuk melaksanakan tugas tersebut.

“Hukuman yang mahu diambil oleh PPZ-MAIWP bertujuan menjadi satu bentuk pendidikan kepada masyarakat, selain dalam masa yang sama melindungi imej dan reputasi institusi ini sendiri daripada disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui Mega Mimbar, di ibu negara baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, isu penyelewengan zakat tidak akan berlaku sekiranya masyarakat lebih berwaspada dalam proses membayar iaitu dengan memilih saluran betul seperti PPZ-MAIWP atau pusat zakat lain yang telah diberi tauliah oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Jelasnya, orang ramai yang ingin membayar zakat boleh terus berurusan dengan pihak berwajib seperti PPZ-MAIWP di kaunter-kaunter khas disediakan, selain mengelak daripada membayar kepada pihak individu yang mengaku sebagai wakil pemungut zakat.

RAMAI MASIH KELIRU

Tambahnya, persepsi orang ramai yang masih kabur antara zakat dan sedekah menyebabkan mereka tidak memilih institusi tepat dalam menyalurkan zakat.

Katanya, zakat perlu dibayar kepada pihak pemerintah, manakala sedekah boleh disalurkan kepada mana-mana pihak atau golongan yang memerlukan.

Menurutnya, pemerintah mempunyai akses dan maklumat yang lebih tepat melibatkan golongan penerima zakat berdasarkan soal siasat yang dilakukan terlebih dahulu bagi mengesahkan mereka golongan yang layak menerima bantuan zakat.

“Isu zakat adalah satu perkara yang sangat besar dan perintah menunaikan zakat sering diperingatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, malah khalifah Abu Bakar juga bertindak tegas dengan memerangi golongan yang tidak mahu membayar zakat kepada pihak pemerintah pada zaman beliau.

“Maka isu pembayaran zakat kepada pihak berwajib atau pemerintah adalah satu kewajipan. Pihak yang dipertanggungjawab pastinya tahu siapakah yang lebih layak menerima zakat daripada orang ramai berdasarkan kriteria ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN