BUDAK lelaki berusia 14 tahun yang suka bermain bola sepak itu tiada beza dengan kebanyakan yang seusia dengannya.
Setiap kali pulang daripada menjalani latihan bola sepak bersama kelab AS Bondy, dia akan terus menuju ke bilik tidur Paris, Perancis.
Sambil duduk di atas katil, Kylian Mbappe melihat poster-poster idolanya iaitu pemain bola profesional Portugal, Cristiano Ronaldo di satu sudut bilik.
Dia menanam azam untuk menjadi seperti pemain terbaik dunia tersebut suatu hari nanti.
Namun, siapa sangka, ketika usianya baharu mencecah 19 tahun, Mbappe sudah menyarung jersi pasukan kebangsaan Perancis dan melakar sejarah menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol pada final bola sepak Piala Dunia.
Lelaki dengan ketinggian 1.78 meter itu juga telah membuktikan kebolehan dirinya pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 apabila dianugerahkan gelaran Pemain Muda Terbaik.
Pada aksi final Ahad 15 Julai lalu, Perancis mengecewakan Croatia 4-2 di Stadium Luzhniki, Moscow, sekali gus mengulangi kejayaan merangkul trofi Piala Dunia pada tahun 1998 ketika menjadi tuan rumah.
Jaringan anak muda itu menjadinya remaja ketiga yang berjaya meledakkan gol pada pentas final Piala Dunia selepas legenda dunia, Pele(1958) dan Guiseppe Bergomi (1982).
Jaringan tersebut juga adalah satu daripada empat gol yang dijaringkan sepanjang kempen Piala Dunia 2018 untuk Perancis.
Bagaimanapun, Mbappe mendakwa, Piala Dunia 2018 hanya permulaan untuk cita-citanya menjadi salah seorang daripada pemain bola sepak terbaik Perancis seperti Thierry Henry.
“Saya sangat gembira. Saya bercakap tentang cita-cita saya sebelum Piala Dunia. Jalannya sangat panjang tetapi ia berbaloi.
“Kami bangga kerana berjaya menggembirakan Perancis. Itulah peranan kami untuk melupakan segala masalah. Inilah cara permainan kami,” katanya.
Suntik semangat
Menurut anak muda yang turut membanggakan kelab yang disertainya, Paris Saint-Germain, kemenangan tersebut menjadi penyuntik semangat untuk dirinya terus melakar kejayaan.
Pada aksi pusingan kalah mati menentang Argentina, remaja tersebut berjaya mendapat sepakan penalti untuk Perancis pada awal permainan.
Perlawanan itu berkesudahan Perancis menang 4-3, sekali gus membenam hasrat pemenang anugerah Ballon D’Or sebanyak lima kali, Lionel Messi pada kejohanan tersebut.
“Saya tidak mahu menjadi orang yang hanya tahu bermain bola sepak. Menjadi juara dunia memberi mesej kepada saya untuk melakukan yang lebih baik tetapi memenangi Piala Dunia adalah permulaan yang baik,” katanya yang membesar di Bondy, pinggir bandar Paris.
Remaja termahal
“Kami bekerja keras sepanjang musim dan sekarang sudah tiba masanya untuk meraikan musim panas ini,” ujarnya.
Mbappe berkata, kini masa untuk dia dan skuad kendalian Didier Deschamps menarik nafas lega.
“Apabila anda memenangi trofi seperti ini, ia begitu indah dan anda mahu hidup semula,” tambahnya.
Ramai yang ingin mengenali remaja tersebut. Hakikatnya, dia sebenarnya sudah mempunyai kerjaya yang membanggakan sejak kecil.
Mbappe telah biasa dengan kelab bola sepak tempatan dan pemain bola sepak terkenal mendakwa bintangnya semakin bersinar.
Anak muda yang membesar dalam keluarga yang aktif dalam bidang sukan bola sepak itu sudah berada di padang sejak bayi kerana bapanya, Wilfried Mbappe adalah pemain dan jurulatih sukan kegemaran dunia itu.
Wilfried yang berasal dari Cameroon juga merupakan jurulatih kepada Mbappe sejak dia mula menceburi acara sukan tersebut.
Ibunya, Fayza Lamari yang berketurunan Algeria pula merupakan atlet bola baling yang mengagumkan di Bondy pada penghujung 1990-an dan awal 2000.
Bukan itu sahaja, abang angkatnya, Jires Kembo bermain secara profesional untuk Turki manakala adik perempuannya, Ethan adalah anggota pasukan bawah 12 untuk kelab bola sepak Paris Saint-Germain.
Sejak usianya 12 tahun, Mbappe telah menjalani latihan di pusat bola sepak Clairefontaine Perancis.
Pada usia 14 tahun pula, dia telah bermain dengan kelab profesional Monaco sebelum menamatkan diploma sekolah menengah pada usia 17 tahun.
Dari Monaco, Mbappe berpindah ke kelab Paris Saint-Germain dan menjadi remaja paling mahal dalam arena dunia bola sepak.
Pasukan tersebut membelanjakan sebanyak AS$210 juta (RM850 juta) tidak termasuk bonus untuk pemain muda terbabit, demikian menurut laporan saluran sukan, ESPN.
Kejayaan Mbappe diiktiraf selepas berlatih dan menjadi seorang yang berdedikasi.
“Dalam sukan bola sepak, segala-galanya boleh dilakukan melalui kerja keras dan saya fikir ia penting.
“Saya selalu mempercayai diri saya sendiri dan saya tahu, saya mampu melakukan perkara yang hebat, tidak cukup sekadar keinginan untuk berjaya tetapi anda mesti bekerja keras,” ujarnya penuh semangat kepada beIN Sport tahun lalu.
Rendah diri
Walaupun dia mendapat kemasyhuran pada usia muda, Mbappe tetap mengekalkan bersikap rendah diri dan murah hati.
“Saya mungkin kelihatan berusia daripada usia saya tetapi sebenarnya saya masih seorang remaja,” tuturnya yang dianggap sudah mengatasi kecemerlangan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Sementara itu, majalah sukan Amerika Syarikat, Sports Illustrated menganggarkan Mbappe memperoleh kira-kira AS$22,500 (RM91,300) serta bonus AS$350,000 (RM1.4 juta) untuk kejuaraan tersebut, sekali gus menjadikan pendapatan Mbappe berkemungkinan mencecah lebih dari AS$500,000 (RM2.03 juta).
Bagaimanapun, dia tidak mengambil sesen pun wang tersebut sebaliknya menyumbangkan kepada Premiers de Cordee iaitu sebuah badan amal yang menawarkan peluang sukan kepada kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital atau mempunyai kecacatan, lapor akhbar L’Equipe.
Bagi meraikan kemenangan Perancis muncul juara Piala Dunia 2018, monumen-monumen ikonik di ibu kota Perancis, Paris dilimpahi warna biru, putih dan merah serta wajah anak muda yang bakal menggantikan Ronaldo itu pada masa depan.










