BUENOS AIRES – Bekas penyerang antarabangsa Argentina, Carlos Tevez berharap agar Lionel Messi tidak menyatakan persaraannya bersama skuad kebangsaan selepas mengharungi kempen buruk pada Piala Dunia 2018 di Rusia bulan lalu.
Sebagai rekod, skuad La Albiceleste yang dikendalikan oleh Jorge Sampaoli tersingkir pada peringkat 16 pasukan terbaik apabila ditunjukkan jalan keluar oleh sang juara, Perancis dengan keputusan 4-3.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Messi yang juga ketua pasukan Argentina dikritik hebat susulan kegagalan pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu meraih sebarang trofi di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
Pemain Barcelona yang kini berusia 31 tahun itu didakwa sedang mempertimbangkan sama ada untuk bersara daripada pentas antarabangsa atau sebaliknya memandangkan nasib malang berterusan buatnya yang turut tewas pada final Piala Dunia edisi 2014 dan kejohanan Copa America edisi 2016.
“Saya harap Messi mengambil masa untuk memikirkan keputusannya sama ada mahu kekal menyarung jersi kebangsaan atau sebaliknya.
“Secara peribadi, saya tahu dirinya agak terbeban dengan tanggungjawab besar menamatkan kemarau trofi Argentina di pentas Piala Dunia.
“Satu kerugian besar buat pasukan sekiranya Messi bersara kerana dia merupakan salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman dan nadi kepada pasukan Argentina.
“Nasihat saya kepada jurulatih baharu nanti agar memastikan barisan pemain dapat mengikut rentak Messi agar kami boleh mencapai sasaran dalam kejohanan antarabangsa pada masa depan,” kata Tevez. – Agensi










