TANGGAL 9 Mei 2018 adalah tarikh bersejarah yang mana rakyat Malaysia membuat keputusan mengakhiri enam dekad pentadbiran Barisan Nasional (BN). Sesetengah berpendapat bahawa 60 tahun lalu adalah era modenisasi, pembangunan, pembasmian kemiskinan dan keseimbangan. Sesetengah yang lain pula merasakan pentadbiran BN adalah zaman kemelesetan, amalan rasuah yang berleluasa dan hak kebebasan bersuara yang dilucutkan. Pendek kata, semuanya buruk-buruk belaka. Akhirnya, rakyat telah menunjukkan siapa tuan yang sebenarnya.
Apakah Malaysia Baharu ini bermakna apa-apa? Dari sebuah negara kecil yang miskin pada 1957, Malaysia berkembang menjadi sebuah negara membangun. Kemajuan mendadaknya dipacu oleh pentadbiran yang baik yang menyeimbangkan kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi. Walaupun Malaysia negara pelbagai kaum, ia tetap kekal sebagai negara yang aman dan bertoleransi – sesuatu yang sulit ditemukan di dalam negara yang mempunyai komposisi masyarakat majmuk.
Perdana Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga adalah Perdana Menteri keempat yang dianggap sebagai bapa pemodenan. Walaupun begitu, beliau juga berhadapan dengan kemarahan rakyat suatu ketika dulu apabila berlakunya demonstrasi besar-besaran pada 1998 dalam kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan akibat pertuduhan salah guna kuasa. Kini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berhadapan dengan beberapa pertuduhan rasuah berkaitan skandal 1MDB yang masih dalam proses siasatan.
Malah, Malaysia Baharu juga ditadbir oleh seorang Perdana Menteri yang pernah berada dalam BN, yang suatu ketika dulu pernah dicerca oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH). Oleh itu, ‘Malaysia Baharu’ ini tidak bererti apa-apa melainkan kerajaan dan rakyat sendiri mengubah diri mereka untuk ke arah yang lebih baik.
Kerajaan yang ada pada hari ini perlu mewujudkan semula kebebasan bersuara untuk rakyat dan membuka diri mereka untuk menerima kritikan membina. Memandangkan PH telah membentuk kerajaan dan BN telah menjadi barisan pembangkang, pandangan kedua-dua parti perlu diambil kira tanpa satu pihak mengutuk secara berlebihan pihak yang satu lagi. Ini membolehkan amalan check and balance dipupuk oleh kerajaan pemerintah bagi memastikan janji-janji ditepati demi rakyat.
Usaha untuk membasmi rasuah perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukan sekadar wayang politik. Siasatan yang sedang berjalan berhubung rasuah dan salah urus 1MDB wajar dilakukan seiring dengan siasatan terhadap pertuduhan rasuah yang lalu melibatkan Perwaja dan urus niaga mata wang asing (forex). Kerajaan juga perlu memastikan peruntukan untuk rakyat disalurkan tanpa ketirisan.
Rakyat Malaysia perlu berasa bangga dengan menyebarkan berita positif mengenai negara ke mana sahaja mereka pergi terutama sekali bagi yang menetap di luar tanah air. Sangat menyedihkan melihat sesetengah rakyat negara ini yang memburukkan negara ini sehinggakan ada yang malu mengaku sebagai rakyat Malaysia.
Dan amat menyedihkan juga ramai rakyat Malaysia mengaku rakyat negara ini tetapi tidak fasih bertutur bahasa kebangsaan dan tidak berbangga dengan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan. Sehingga hari ini, terdapat rakyat yang lahir dan dibesarkan di negara ini tetapi tidak boleh berbahasa kebangsaan seolah-olah mereka baru tiba di negara ini dari tanah asing.
Selain itu, permintaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang ingin Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum juga sesuatu yang tidak patut berlaku tatkala negara masih berada dalam peringkat awal fasa perubahan. Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mahukan bahasa Mandarin diberikan status yang lebih baik sebagai bahasa negara juga boleh menjejaskan perpaduan rakyat. Dalam pada itu, kritikan terbuka seorang aktivis, Fadiah Nadwa Fikri terhadap institusi beraja menerusi artikelnya baru-baru ini bukanlah sesuatu yang sihat untuk sebuah negara yang mempunyai populasi majoriti Melayu Muslim.
Hak istimewa orang Melayu-bumiputera adalah isu sensitif sepertimana sensitifnya persoalan hak-hak kerakyatan kaum bukan Melayu-bumiputera. Perlu diingatkan bahawa hak istimewa orang Melayu yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan adalah salah satu daripada imbal balik dari pemberian kerakyatan kepada kaum bukan Melayu menjelang kemerdekaan. Jika tidak, masyarakat bukan Melayu di negara ini akan jadi tidak bernegara seperti kaum Rohingya di Myanmar dan masyarakat Cina di Brunei pada hari ini.
Di sebalik berita-berita buruk mengenai Malaysia sejak kebelakangan ini, rakyat negara ini sekarang boleh berbangga menunjukkan kepada dunia bahawa demokrasi subur dan mekar di negara ini. Tidak ada campur tangan ketenteraan dan rusuhan besar-besaran yang berlaku sewaktu pemindahan kuasa berlangsung daripada BN kepada PH, suatu petunjuk bahawa Malaysia adalah negara aman, makmur dengan rakyatnya yang bertamadun tinggi.
Malaysia Baharu tidak akan bererti apa-apa sekiranya rakyatnya sendiri tidak berbangga dengan tanah air dan berusaha keras membawa negara ke mata dunia. Marilah kita mengetepikan perbezaan fahaman politik kita demi Malaysia tercinta.
DR. MOHD. HAZMI MOHD. RUSLI ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan profesor pelawat di Sekolah Undang-Undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.










