Anwar perlu sokongan penuh - Utusan Malaysia

Anwar perlu sokongan penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Julai – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menjelaskan sebab utama beliau merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti adalah untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan daripada ahli-ahli parti yang jujur.

Tanpa merujuk kepada mana-mana nama, Rafizi berkata, be­liau tidak mahu Anwar mempunyai barisan kepemimpinan parti yang sekadar membuat janji, namun akhirnya membelakangi perkara yang telah dipersetujui bersama.

Jelasnya, Anwar sudah pasti akan menjadi Perdana Menteri kelapan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur, dan sudah tentu Anwar memerlukan sokongan daripada ahli yang tidak bermuka-muka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangan setuju di depan sahaja, tetapi di belakang lain. Anwar perlu mempunyai sokongan dan mandat daripada rakyat dan ahli PKR sendiri untuk menjayakan agenda reformasi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa dalam majlis memperkenalkan kumpulannya yang akan bertanding dalam pemilihan parti bulan depan di sini hari ini.

Menjelang pemilihan parti yang akan bermula hujung bulan ini, penganalisis melihat PKR seperti terpecah kepada dua kem iaitu satu diketuai oleh Anwar dan satu lagi oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, penganalisis melihat Rafizi merupakan antara individu yang berada di dalam kem yang sama dengan Anwar.

Tambah Rafizi, dua lagi sebab mengapa beliau mahu menjadi Timbalan Presiden ialah bagi memperkuatkan lagi parti dan memastikan PKR dapat merampas Pahang dan beberapa negeri lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 serta mahu menghapuskan budaya feudal.

“Kita mesti elakkan budaya feudal dan perlu menentang amalan pelantikan politik dan gejala politik wang,” katanya.

Beliau juga tidak mahu budaya memberi jawatan seperti melantik sebagai ahli majlis untuk mendapat sokongan dibiarkan dan mahu setiap ahli parti membuat teguran terhadap segala salah guna kuasa yang dilakukan.

Sebab terakhir mengapa be­liau mahu mendapatkan jawatan kedua tertinggi PKR adalah untuk menjaga kebajikan ahli-ahli parti terutama mereka yang telah lama berjuang bersama PKR sejak 1998.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×