KUALA LUMPUR – Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (Alife) memohon supaya Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya terus menyokong acara-acara besar yang diadakan dalam negara ini dalam usaha meningkatkan bilangan dan perbelanjaan dalam kalangan pelancong luar negara.
Presiden Alife, Para Rajagopal (gambar) berkata, pihaknya yakin menteri yang baharu dilantik semalam mampu mengangkat peranan seni, hiburan dan acara sukan antarabangsa seiring dalam mewujudkan aliran pendapatan dalam sektor pelancongan dan industri acara negara ini.
Katanya, sekurang-kurangnya 200 acara besar dengan sokongan Malaysia Major Events telah diadakan dalam negara ini antara tahun 2012 hingga 2017 dan ia telah menjana pendapatan sebanyak RM3.13 bilion untuk ekonomi tempatan hasil perbelanjaan pelancong luar negara.
“Daripada jumlah RM3.13 bilion itu, 30 peratus (%) disumbang industri perhotelan (hotel tiga-lima bintang dan hotel bajet), 30% daripada industri peruncitan, 25% industri hiburan (aktiviti riadah dan makanan & minuman) dan 15% dihasilkan industri lain seperti pengangkutan dan pengusaha pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, acara besar seperti kejohanan sukan antarabangsa dan seni kontemporari mampu menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke negara kita dan berbelanja serta secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan.
“Sebagai contoh, Langkawi banyak mendapat manfaat daripada kejohanan besar seperti Ironman, Kejohanan Bola Tampar Pantai Siri Dunia FIVB, Tour de Langkawi dan Oceanman.
“Antara tahun 2012 dan 2016, kejohanan itu telah memberikan pulangan mencecah RM150 juta kepada Langkawi yang mana 80 peratus disumbang daripada kedatangan pelancong luar negara,” ujarnya.
Tambahnya, ketika Langkawi menjadi tuan rumah Kejohanan Muay Thai Dunia IFMA 2014, kira-kira 10,000 pengunjung hadir dengan 50 peratus merupakan pelancong luar negara.
“Acara itu telah menjana perbelanjaan RM36 juta dan mewujudkan lebih 900 peluang pekerjaan sementara,” Tambahnya.
Dalam pada itu katanya, Alife turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohamad Din Ketapi dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik di atas pelantikan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya semalam. – K! ONLINE









