SEMESTINYA soal album baharu adalah yang pertama ditanya tatkala bersua bicara dengan kumpulan negara seberang ini. Tujuh tahun berhibernasi, bila agaknya peminat berpeluang kembali mendengar lunak suara mendendangkan lagu-lagu baharu?
Hanya senyuman manis dibalas lima ahli kumpulan ini iaitu Piyu (gitar), Fadly (vokal utama), Ari (gitar), Rindra (bes) dan Yoyo (dram). Seolah-olah tidak mempunyai jawapan konkrit kepada soalan yang bukan sahaja ditunggu oleh rakan media, namun pastinya peminat setia yang turut menantikan sebuah jawapan.
Masih mencari lagu-lagu yang selayaknya dimuatkan dalam album, itu jawapan mereka. Tidak mahu terburu-buru dalam menyusun atur langkah, mereka mahu meggali dalam kreativiti dalam mencatur strategi seni.
“Ramadan lalu, kami baru sahaja memulakan bengkel mengumpul lagu. Sekarang masih lagi dalam proses memilih yang sesuai. Kalau hendak tanya susah atau tidak, kami pun tidak pasti.
“Mudah-mudahan tahun ini kami diberikan peluang dan kesempatan untuk tampil dengan single baharu. Kami tidak mahu tangkap muat sahaja. Selepas lama berehat, kami perlu tampil lebih kuat.
“Sudah lama berehatkan, jadi sekarang masih kena asah pemikiran dan kreativiti masing-masing. Namun kami masih sama, tetap berseronok dan tidak terlalu tertekan dalam menghasilkan sesebuah lagu dan album,” kata Fadly.
Mereka ditemui baru-baru ini, sehari sebelum mengadakan Konsert Padi Reborn Live In KL, sebuah konsert yang ditunggu-tunggu oleh para peminat setia mereka.
Dalam pada itu, Padi mengakui tidak mudah bagi kumpulan yang sudah memasuki dua dekad perjalanan seni ini untuk mencuri hati peminat muzik generasi baharu malah turut setuju bahawa perlu lebih bekerja keras dalam memastikan jenama mereka terus unggul.
Namun seboleh-bolehnya mereka tidak mahu terlalu mencuba dan bersungguh-sungguh sebaliknya tetap mengekalkan jiwa Padi dalam setiap lagu baharu.
Oleh sebab itu mereka lebih senang melihat sekeliling dan mendapat idea daripada pemerhatian sendiri.
“Kami tidak mahu menggunakan lagu yang sudah lama dicipta. Kalau mahu lagu baharu, maka proses penciptaannya juga perlu baharu. Kita mahu bukan peminat sedia ada sahaja teruja, kami mahu mencuri hati generasi muda.
“Sebuah band bukan sekadar bermain muzik. Mungkin agak sukar untuk mendapat perhatian generasi muda. Tambahan pula dengan lahirnya ramai penyanyi sekarang. Tetapi itu bukan satu halangan sebaliknya cabaran.
“Tak semua generasi muda kenal Padi. Itu realiti yang perlu diakui. Jadi tugas kami mencari lagu yang sesuai untuk peminat terdahulu dan juga kena dengan jiwa peminat generasi muda,” kata Piyu pula.
Ditanya adakah mereka bakal ‘berehat’ kembali selepas ini, mereka menjawab dengan tawa kecil.
Tidak bermaksud mahu ‘bersara’ dari dunia seni, mereka berhibernasi bagi melahirkan jiwa dan tenaga baharu untuk kelangsungan muzik.
“Ada peminat meminta kami agar jangan berehat lagi. Cukup sekali. Kami mahu tampil lebih segar untuk melewati cabaran yang lebih sukar kini, jadi tenaga dan kekuatan juga perlu ada,” kata Fadly.










