Tak paham Diva dengan segelintir artis Malaysia. Bukan apa, yang muda gunakan gimik putus cinta dan kemurungan untuk popularkan lagu baharu.
Sementara yang veteran pula buat gimik gaduh-gaduh dan aibkan satu sama lain di Instagram, demi meraih publisiti murahan.
Belum sempat masyarakat menarik nafas lega gimik kemurungan dan sidang akhbar tergempar Haqiem Rusli, mereka terpaksa pula menghadam gimik pergaduhan penyanyi dangdut, Sheeda dengan Ifa Raziah pula baru-baru ini.
Semuanya bermula apabila Sheeda berkongsi videonya menyerang Ifa di parkir kereta sebuah pusat beli-belah. Menerusi kapsyen pada video itu, Sheeda mendakwa Ifa memburuk-burukkan dirinya kepada pihak lain namun tidak berani bersemuka apabila diminta berbuat demikian.
Sheeda turut melabel Ifa sebagai wanita ‘plastik’ selain suka mencari pasal dan penipu.
Akibat perkongsian itu, video berkenaan menjadi tular. Malah ramai peminat yang terkejut termasuk rakan-rakan artis.
Ada beberapa media turut membuat susulan mengenai penularan video tersebut, tetapi Sheeda memberitahu ingin bertenang, manakala Ifa pula mendedahkan membuat laporan polis.
Ironinya, selepas itu kedua-dua artis itu membuat pengakuan pergaduhan mereka sekadar gurauan.
Memang Diva akui tak percayapun mereka bergaduh dan firasat lebih mengatakan mereka sengaja mencipta kontroversi.
Cuma, kasihan pada orang-orang yang mudah percaya dan mudah jatuh kasihan. Alih-alih rupa-rupanya semua gimik semata-mata.
Buat artis yang suka menggunakan gimik untuk meraih populariti, Diva rasa janganlah berlebih-lebihan. Bukan apa, takut nanti apabila artis suka sangat buat gimik bukan-bukan, peminat enggan lagi percaya.
Diva: Sedap nama anak ketiga Norman Hakim bersama Memey iaitu Mikayla Delisha Hakim.










