KANGAR – Aktiviti perjudian sempena kejohanan Piala Dunia 2018 edisi ke-21 di Perlis terkawal selain tidak melibatkan jumlah pertaruhan yang besar serta sindiket.
Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, setakat ini hanya tujuh kes dikesan pihaknya menerusi Ops Soga yang dilancarkan pada 14 Jun lalu.
“Individu yang terlibat menggunakan telefon pintar untuk melakukan aktiviti perjudian tersebut, pertaruhan tidak melibatkan jumlah mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit cuma sekitar RM200 hingga RM300 sahaja.
“Mereka melakukannya secara bersendirian dan tidak berkumpul di kedai kopi atau kawasan terbuka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri sempena Perkhemahan Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2018.
Piala Dunia 2018 edisi ke-21 di Rusia bermula pada 14 Jun lalu hingga 15 Julai melibatkan 32 pasukan bola sepak dari seluruh dunia.
Dalam pada itu, Azisman berkata, semua kes itu melibatkan siasatan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan jumlah individu yang ditangkap sepanjang Ops Soga di negeri itu. – K! ONLINE









