Aksi Verstappen makin matang - Utusan Malaysia

Aksi Verstappen makin matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SPIELBERG, Austria – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner menegaskan, kemena­ngan Max Verstappen pada aksi perlumbaan pada Grand Prix (GP) Austria malam kelmarin menunjukkan pelumba mudanya itu semakin matang.

Pelumba kelahiran Belanda tersebut sebelum ini dikritik hebat apabila gagal menamatkan dua perlumbaan di Bahrain dan Azerbaijan serta sekadar meraih tiga podium dalam lapan perlumbaan.

Verstappen yang memulakan perlumbaan di petak kelima berjaya mengambil kesempatan dengan baik ekoran masalah teknikal yang menimpa dua jentera Mercedes yang dipandu Valtteri Bottas dan Lewis Ha­milton, sekali gus menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan 1 jam 21 minit 56.024 saat.

“Saya gembira dengan kemenangan ini kerana dia (Verstappen) menunjukkan kematangan dengan baik dalam pemanduannya di Austria. Ketika itu keadaan tayar sangat kritikal dan mampu menjejaskan peluangnya untuk mengekalkan kedudukan.

“Bagaimanapun, dia mengemudi perlumbaan dengan baik dan sentiasa bertanya kepada kami keadaan tayarnya. Dia bernasib baik mampu bertahan sehingga penghujung perlumbaan.

“Cita-cita Verstappen untuk menjulang kemenangan akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Verstappen me­ngakui nasib menyebelahinya kerana pada 10 pusingan terakhir, tayarnya boleh pancit pada bila-bila masa.

“Ia merupakan perlumbaan yang sukar kerana ketika itu tayar saya mula hilang cengkaman dan kehilangan kepantasan. Saya hanya mengekalkan rentak dan bertahan untuk menamatkan perlumbaan.

“Saya tahu Kimi Raikkonen yang berada di belakang saya mempunyai ke­lebihan untuk mengejar saya dengan lebih laju,” katanya.

Dalam pada itu, rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo gagal menamatkan perlumbaan apabila jentera yang dipacunya berdepan kerosakan ketika perlumbaan hanya berbaki 18 pusi­ngan untuk tamat. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN