AirAsia salur dana bantu pesakit kanser - Utusan Malaysia

AirAsia salur dana bantu pesakit kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYARIKAT penerbangan tambang murah negara, AirAsia menyerahkan cek bernilai RM300,300 kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) pada acara #AirAsiaMAKNA: The Big Fiesta di Putrajaya baru-baru ini.

Sumbangan itu diperoleh hasil daripada jualan amal baju-T edisi terhad hasil rekaan juruterbang dan krew kabin menerusi kempen #AirAsiaMAKNA.

Kempen yang memasuki tahun ketiga itu bertujuan memberi kesedaran tentang kanser dan menyokong penghidap kanser yang kurang bernasib baik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, kanser merupakan satu penyakit global yang memberi kesan kepada semua peringkat umur.

Katanya, AirAsia juga memiliki pesakit yang berjuang merawat kanser, sekali gus memberi inspirasi kepada pihaknya untuk melakukan sesuatu bagi membantu golongan tersebut.

“Sejak tahun 2015, kempen ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta bagi membantu penghidap kanser yang kurang bernasib baik.

“Inisiatif ini tidak dapat dilakukan tanpa sokongan orang ramai. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Pada majlis sama, AirAsia BIG Loyalty turut menyerahkan dua juta mata ganjaran kepada Makna untuk terus membantu penghidap kanser dari segi pilihan perjalanan.

Sementara itu, Pengurus Besar Makna, Faridah Mohd. Farid memberitahu, kerjasama pihaknya dengan AirAsia misi membantu menyelamat dan memberi impak positif kepada penghidap kanser.

Jelasnya, rakyat Malaysia bukan sahaja boleh terbang bersama AirAsia tetapi membantu mereka yang memerlukan menerusi kempen tersebut.

“AirAsia merupakan sebuah organisasi yang mengambil berat terhadap komuniti di sekelilingnya. Inilah sebab kerjasama ini berjaya,” katanya.

Para pengunjung acara tersebut berpeluang menyertai aktiviti seperti pemeriksaan, ceramah dan jualan produk kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN