KUALA LUMPUR 3 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di sini, petang ini.
Seri Paduka tiba di dewan tersebut kira-kira pukul 3.35 petang tadi, disambut oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan isteri, Normah Alwi; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd. Manaf dan isteri, Datin Naimah Ahmad serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan isteri, Puan Seri Rusnah Abdul Rahman.
Sebelum santapan majlis bermula, Yang di-Pertuan Agong juga berkenan mengurniakan sumbangan hari raya kepada 53 orang pegawai dan anggota ATM yang tercedera semasa penugasan operasi dan latihan, terkena jerangkap samar dan terlibat dalam kemalangan semasa di dalam perkhidmatan.
Majlis itu turut dihadiri hampir 3,000 tetamu dan jemputan warga ATM, kakitangan awam Kementerian Pertahanan serta jemputan khas. – UTUSAN ONLINE










