‘Agaknya banyak yang tidak kena dengan orang Kelantan’ - Utusan Malaysia

‘Agaknya banyak yang tidak kena dengan orang Kelantan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 8 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan menyifatkan ‘banyak tidak kena dengan orang Kelantan’ apabila menolak Pakatan Harapan (PH) dan mengekalkan Pas untuk menerajui negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, ketika rakyat di negeri lain nekad mahu membuat perubahan, rakyat Kelantan pula memilih haluan berbeza.

Katanya, kegagalan PH memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini masih menimbulkan tanda tanya dan setiap parti komponen kini sedang sibuk menjalankan ‘post-mortem’.

“Selepas PRU-14, kita kena teruk sehingga tidak menang satu kerusi pun. Jadi kita masing-masing buat soul searching (renungan), melihat ke dalam apa salah yang kita buat, apa yang tidak kena dengan kita, dan apa yang tidak kena dengan orang Kelantan.

“Agaknya ramai yang tidak kena dengan orang Kelantan. Ketika negeri lain ingin berubah, kita tidak mahu. Mesti ada sesuatu tidak kena dan kita kena luangkan masa untuk masing-masing membuat post-mortem,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi ramah mesra dan sarapan pagi PPBM Kelantan bersama wakil media di sini hari ini.

Kamaruddin dalam pada itu menafikan dakwaan kononnya masih tiada penyatuan dalam kalangan parti-parti komponen PH di Kelantan sehingga tidak mampu duduk semeja dan mencapai kata sepakat dalam pelbagai isu.

“Ini tidak betul. Kita boleh duduk semeja dan setiap parti masing-masing mempunyai pendekatan sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN