Afif ungguli 
Litar MAEPS - Utusan Malaysia

Afif ungguli 
Litar MAEPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPIAN Pelumba Kuala Lumpur, Mohd. Akid Aziz untuk muncul juara pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas kategori CP150 di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) tidak kesampai­an apabila terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua de­ngan dibezakan 0.028 saat di belakang Ahmad Afif Amran.

Akid yang memulakan perlumbaan di petak pertama dilihat menguasai seluruh perlumbaan, namun gagal mempertahankan kedudukan tersebut selepas pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ, Afif bijak mengambil peluang memintas Akid di selekoh terakhir untuk muncul juara.

Afif berjaya menamatkan 20 pusingan perlumbaan de­ngan merekodkan catatan masa keseluruhan 15 minit 52.716s, hanya berkelebihan 0.028s berbanding Akid (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor)
“Saya memang menanti sehingga ke penghujung perlumbaan untuk cuba memintas Akid ke­rana yakin jentera saya mempunyai kelebihan.

“Selepas melihat ada ruang untuk memintas, saya tidak teragak-agak untuk melakukannya dan kami bersaing sengit sehingga ke garisan penamat.

“Saya gembira dengan kemenangan ini terutama menewaskan Akid yang menguasai sepenuhnya kesemua sesi sepanjang dua hari perlumbaan minggu ini,” katanya.

Hasil kemenangan tersebut, Afif naik ke tangga teratas ke­seluruhan dengan 45 mata.

Kasma Daniel Kasmayudin yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 41 mata, manakala rakan sepasukan Afif, Mohd. Hafiz Nor Azman di kedudukan ketiga dengan 29 mata.

Sementara itu, gelaran CP115 menjadi milik Tengku Ami­rul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) yang menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 12’22.820s diikuti rakan sepasukan, Md. Fareez Afeez dan Haziq Fai­rues (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN