Syarikat ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI) memberi sumbangan sebanyak RM120,000 kepada enam pelajar yang terpilih mewakili negara menyertai Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO) ke-59 di Cluj-Napoca, Romania, baru-baru ini.
Sumbangan itu bagi menyokong latihan dan persediaan pasukan Malaysia untuk menyertai IMO yang disertai pelajar berkebolehan menyelesaikan masalah matematik dari seluruh dunia.
Enam pelajar yang terpilih melalui pertandingan yang disertai lebih 10,000 pelajar seluruh negara ialah Ivan Chan Kai Chin, 19 (Kolej Inti); Sean Gee Zhing, 19 (Sekolah Tinggi Melaka); Muhammad Hafizudeen Mohamad Saman, 18 (Universiti Taylor’s); Yeoh Zi Siong, 17 (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling); Tan Li Xuan, 16 (SMK Bandar Utama Damansara) dan Tristan Chang, 15 (Sekolah Tinggi Kuen Cheng).
Malaysia mula menyertai IMO pada 1995 dan sehingga kini telah menghantar 23 penyertaan.
Secara terkumpul, negara kita memenangi tiga emas, 11 perak, 21 gangsa dan 29 anugerah khas.
Pada tahun lalu, Malaysia berada pada kedudukan ke-37 melonjak dari tangga ke-56 pada tahun 2016.










