KUANTAN 2 Julai – Seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mengangkat sumpah di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Majlis mengangkat sumpah itu didahului Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum diikuti 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan kesemua ADUN daripada Barisan Nasional (BN), Pas serta Pakatan Harapan.
Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik semula, Datuk Seri Ishak Muhamad.
Sementara itu, ADUN Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar juga dilantik semula sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BN kekal menerajui Pahang selepas menang 25 daripada 42 kerusi DUN diikuti PKR (sembilan kerusi) dan Pas lapan kerusi. – UTUSAN ONLINE











