KUALA TERENGGANU 9 Julai – Kepupusan sumber laut di negara perairan negara mereka mendorong nelayan Vietnam untuk terus menceroboh perairan negara ini, dan mereka tidak serik meskipun terdedah dengan tindakan perundangan termasuk bot yang dirampas, dilupuskan.
Lokasi tumpuan mereka ialah di sekitar kawasan pelantar minyak yang dianggap kawasan lubuk ikan dan sotong daripada pelbagai spesies berkualiti bagi meraih pulangan yang cukup lumayan.
Terbaharu, Sabtu lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia APMM) Terengganu menahan dua bot nelayan negara itu bersama 19 awak-awak dan dua tekong yang menceroboh perairan negeri ini.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Rahim Ramli memberitahu, bot pertama ditahan pada pukul 7.40 malam manakala bot kedua kira-kira pukul 8.30 malam di kawasan antara 33 hingga 39 batu nautika dari Kuala Terengganu.
“Dengan kes terbaharu itu, kita telah berjaya menahan 40 bot dengan jumlah rampasan bernilai RM50.5 juta sejak Januari lalu,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Rahim hasil pemeriksaan mendapati kesemua 21 nelayan itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Katanya, kedua-dua bot ditahan ketika sedang menangkap ikan dalam Ops Perkasa Timur dan Ops Marikh yang dijalankan secara kerap terutama di kawasan berdekatan pelantar minyak.
“Mereka meraih keuntungan besar. Inilah yang menarik minat dan mereka tidak pernah serik menceroboh. Jadi kita menjalankan rondaan secara kerap,” katanya.
Beliau berkata, selain dua bot, 4.5 tan hasil laut, 10,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan turut dirampas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2.4 juta.
“Kita akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi menjaga perairan kita daripada terus diceroboh,” katanya.-UTUSAN ONLINE










