PUTRAJAYA 2 Julai – Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB telah membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun-akaun milik individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 26 dan 29 Jun 2018 lalu.
Menurut kenyataan pasukan tersebut, akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.
“Akaun-akaun tersebut dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB. Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015.
“Pasukan Petugas Khas 1MDB kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tahap pembabitan pihak-pihak terbabit. Siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan berlaku adil kepada semua pihak yang terbabit,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas 1MDB berharap semua pihak yang terlibat akan memberi kerjasama dengan pihaknya.
Menurut kenyataan itu lagi, Pasukan Petugas Khas 1MDB juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang bakal dibekukan selepas ini.
“Kesemua akaun dibekukan mengikut peruntukan undang-undang negara ini sebagaimana lazimnya dilakukan, dan oleh itu, tidak timbul isu tindakan membekukan akaun diambil untuk menganiaya mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.
Pasukan Petugas Khas 1MDB terdiri daripada Tan Sri Abdul Gani Patail, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Datuk Abdul Hamid Bador. – UTUSAN ONLINE











