KUALA LUMPUR – Selepas 53 hari memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), akhirnya teka-teki mengenai Kabinet lengkap kerajaan Pakatan Harapan (PH) terjawab apabila 13 menteri tambahan dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara di sini semalam.
Pelantikan tersebut menjadikan kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini mempunyai keseluruhan 25 kementerian yang diketuai 26 menteri.
Pada 21 Mei lalu, 13 orang menteri diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri selepas kemenangan PH pada PRU-14 lalu.
Pelantikan tersebut menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai 10 orang wakil dalam Kabinet, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menempatkan 14 wakil, DAP (12), Parti Amanah Negara (Amanah) (sembilan) dan Parti Warisan Sabah (lima).
Istiadat yang bermula pada pukul 11 pagi dimulakan dengan kumpulan pertama jemaah menteri mengangkat sumpah diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan.










