SEORANG ahli keluarga menunjukkan gambar empat daripada 12 budak lelaki yang hilang di Gua Tham Luang, Mae Sai, wilayah Chiang Rai kelmarin.
CHIANG RAI, Thailand – Anggota-anggota penyelamat bertungkus lumus mengepam air keluar dari sebuah gua di utara Thailand semalam selepas ramalan hujan lebat dikhuatiri akan menyukarkan usaha untuk membebaskan sebuah pasukan bola sepak budak-budak yang ditemui selepas terperangkap selama 10 hari.
Pasukan penyelam berusaha melalui laluan sempit dan air keruh untuk menemui 12 budak lelaki itu dan jurulatih mereka malam kelmarin di atas sebuah bongkah batu pada jarak 4 kilometer dari pintu gua.
Klip video yang dirakam anggota penyelamat menunjukkan kumpulan kanak-kanak itu memakai seluar pendek bersama baju merah dan biru sama ada sedang duduk atau berdiri di atas batu dengan air di bawah mereka.
“Berapa ramai anda yang ada, 13? Bagus,” kata seorang anggota pasukan penyelamat berbilang negara berkenaan sambil menambah: “Anda semua berada di sini selama 10 hari. Anda semua sungguh kuat.”
Kumpulan budak-budak tersebut ditemui dalam keadaan lemah tetapi mereka hanya mengalami kecederaan kecil. Penemuan itu berlaku ketika hujan berterusan turun di Chiang Rai semalam dan diramalkan semakin lebat hari ini.
Mereka ditemui oleh dua penyelam Britain, John Volanthen dan Rick Stanton, demikian menurut pegawai Majlis Penyelamat Gua Britain, Bill Whitehouse.
Berumur antara 11 hingga 16 tahun, budak-budak itu hilang bersama jurulatih mereka yang berusia 25 tahun selepas sesi latihan bola sepak pada 23 Jun lepas semasa mereka keluar meneroka Gua Tham Luang di sebuah taman rimba di wilayah Chiang Rai dekat sempadan Myanmar di utara Thailand.
Dalam pada itu, bekalan makanan dan perubatan yang amat diperlukan sampai kepada mangsa semalam, manakala pasukan penyelamat bersiap sedia untuk kemungkinan mereka mungkin terperangkap lebih lama.
“Kami akan menghantar makanan tambahan untuk tempoh sekurang-kurangya empat bulan dan melatih semua 13 mangsa itu untuk menyelam. Pada masa sama, kami juga akan terus mengepam keluar air,” kata pegawai Tentera Laut Diraja Thailand, Kapten Anand Surawan.
Penemuan itu dianggap satu keajaiban dan mencetuskan kegembiraan kepada rakyat Thailand selepas operasi menyelamat dihalang oleh hujan lebat serta banjir. – AFP/Reuters










