KUCHING 21 Jun – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang menjadi Menteri Persekutuan pertama mengadakan lawatan kerja ke Sarawak menyifatkan kedatangannya ke negeri ini, umpama kembali pulang rumah hari ini.
Menurutnya, Sarawak umpama rumah kedua kerana sebelum ini sering datang ke negeri ini antara dua hingga tiga minggu sekali bagi menyelesaikan isu tertentu.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membenarkan beliau memasuki negeri ini, memandangkan sebelum ini disenarai hitam.
“Pagi tadi saya telah bertemu dengan dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Mudanya berkongsi kepadanya dengan polisi perumahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kerajaan Persekutuan di bawah PH berkhidmat kepada semua merentasi kepartian, kaum dan agama dalam soal kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini selepas mengadakan lawatan ke Majlis Perbandaran Padawan (MPP) hari ini.
Terdahulu, beliau membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pukul 10 pagi tadi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dua isu juga dibangkitkan dalam pertemuan bersama Abang Johari iaitu berkaitan isu gadis Penan yang dirogol namun pelakunya dikatakan masih tidak dibawa ke muka pengadilan dan soal kad pengenalan serta sijil kelahiran yang tidak dimiliki masyarakat terutama di pedalaman.
“Bagi projek-projek di bawah kementeriannya pula, ia perlu diteruskan tetapi akan ada penambah baikkan dan dikaji semula untuk memastikan ia memberi manfaat dalam jangka panjang kepada rakyat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE







