Zambry tidak bertanding Naib Presiden UMNO - Utusan Malaysia

Zambry tidak bertanding Naib Presiden UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT –  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk seri Dr Zambry Abd. Kadir mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan sebagai Naib Presiden pada pemilihan UMNO 2018 pada 30 Jun ini. 

Menurutnya, keputusan itu dilakukan selepas beliau berhasrat untuk memberi ruang kepada orang lain bertanding bagi jawatan tersebut. 

Jelasnya, meskipun ramai ahli UMNO dan rakyat biasa yang mengesyorkan agar beliau bertanding namun, Zambry mahu memberi ruang kepada orang lain untuk bertanding jawatan itu.

“Saya ucapkan terima kasih pada pihak yang mengusulkan dan memberi kepercayaan pada saya untuk bertanding jawatan tersebut. 

“Bagaimanapun, saya akan cuba beri khidmat untuk Majlis Tertinggi (MT) Umno. Ia merupakan satu langkah terbaik untuk saya terlibat dalam pemulihan parti dan saya akan memberi perkhidmatan yang setakat yang termampu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Lumut di Virgo Batik Resort di sini hari ini. 

Dalam majlis tersebut, seramai 500 perwakilan UMNO yang terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri hadir pada Mesyuarat berkenaan bagi memilih calon yang bertanding bagi sayap masing-masing.

Calon-calon yang akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO 2018 ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Khalid Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Sementara itu, susulan daripada keengganannya untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, menurut Zambry, keputusannya itu bukan disebabkan beliau takut sebaliknya ingin lebih menumpukan kepada aspek pemulihan parti. 

“Melalui keputusan ini, ia sedikit sebanyak dapat memberi sumbangan kepada parti terutamanya dalam konteks pemulihan parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas di peringkat persekutuan pada Pilihanraya Umum ke-14 baru-baru ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN