KUALA LUMPUR 3 Jun – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersedia menerima sebarang cabaran dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti kali ini.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden itu berkata, perkara itu selaras dengan komitmen dizahirkan beliau serta Naib Presiden parti yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa semua jawatan adalah terbuka untuk dipertandingkan.
Pada masa sama, beliau mengakui tidak tahu sekiranya ada nama-nama lain yang telah menyatakan kesediaan untuk turut bertanding jawatan Presiden parti.
“Kita tidak tahu sebab belum tutup (penamaan calon), tutup pada 17 Jun, baru dibuka tiga hari.
“Saya dan Hishammuddin mempunyai pendirian bahawa semua jawatan dalam parti terbuka untuk dipertandingkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Majlis Tertinggi UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengesahkan empat wakil Pergerakan Pemuda UMNO menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi.
Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan dilakukan dan mereka bersependapat ini merupakan waktu terbaik untuk melakukan transformasi sebenar.
“Selain saya, tiga lagi wakil Pemuda UMNO ialah Datuk Razlan Rafii, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dan Datuk Mohamad Safri Ab. Aziz,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Armand Azha memberitahu, keputusan bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi itu juga bertujuan mencari ruang serta peluang menambah baik UMNO memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu jelas menyaksikan saluran golongan muda menolak Barisan Nasional (BN).
“Sudah sampai masanya kesinambungan antara calon muda dan lama. Kami tidak menolak pemimpin lama tetapi ini merupakan ruang serta peluang kepada anak muda untuk terajui UMNO,” ujarnya.










