KUALA LUMPUR 8 Jun – Kementerian Pengangkutan menggesa semua kerajaan negeri supaya mewujudkan portfolio pengangkutan bagi menguruskan isu-isu berkaitan pengangkutan di negeri masing-masing.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri besar dan ketua menteri dalam masa terdekat berhubung jawatan dan bidang tugas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu itu.
“Selain masalah pengangkutan, jawatankuasa baharu itu antara lain akan meneliti isu-isu berkaitan keselamatan jalan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung ke-20 anjuran bersama Persatuan Penjual Motosikal dan Skutar Malaysia (MMSDA) dan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa; Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan; Pengerusi MMSDA, Wee Hong dan Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd., Datuk Jim Khor.
Dalam pada itu Siew Fook berkata, kementeriannya akan mengkaji untuk memindahkan Akta JPJ dengan melaksanakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah kemalangan maut dalam masa terdekat.
“Ini kerana hukuman yang sedia ada dilihat kurang relevan terutamanya melibatkan kemalangan maut,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kementeriannya akan mengkaji semula perundangan secara bersepadu sama ada meminda akta sedia ada atau melihat kewujudan akta lain yang memperuntukkan hukuman lebih berat.
Selain itu katanya, langkah-langkah keselamatan jalan raya juga akan diperketatkan.









