Wujudkan badan induk tertinggi selaras TVET segera - Utusan Malaysia

Wujudkan badan induk tertinggi selaras TVET segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jun – Sebuah badan induk tertinggi perlu diwujudkan segera untuk menyelaraskan kesemua agensi yang melaksanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak berkata, badan induk tertinggi itu perlu berperanan sebagai institusi yang bebas bagi mengiktiraf kesemua sijil kemahiran dari semua agensi dan institusi yang menawarkan program TVET.

“Semua sedia maklum hala tuju TVET kini masih terumbang-ambing dan tidak jelas akibat tiada perancangan rapi ekoran selama ini program ini diuruskan oleh tujuh kementerian tetapi sijil kemahiran yang dikeluarkan masing-masing ada yang tidak diiktiraf,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma NUTP di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kamarozaman menggesa supaya Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) dimansuhkan dan pembiayaan pendidikan TVET dikendalikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sahaja kerana kerenah birokrasi yang mengakibatkan ramai pelajar tidak dapat menyambung pengajian dalam bidang kemahiran.

”Sepatutnya TPK yang diperuntukkan adalah RM500 juta bagi melatih 75,000 pelajar kemahiran seluruh negara, tetapi sejak tiga tahun lalu dana kewangan tabung itu telah dikurangkan kepada RM125 juta sahaja, maka hanya 10,000 pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN