KUALA LUMPUR 18 Jun – Seorang lelaki warga Nepal maut ditikam rakan serumahnya yang juga warganegara sama di Putra Majestik, Jalan Kasipillay Off Jalan Ipoh, Sentul di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang warga Nepal mengenai kejadian terbabit pada pukul 2.01 pagi.
“Bertindak atas maklumat itu, Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pergi ke tempat kejadian dan melihat seorang warga Nepal yang mencurigakan di luar halaman rumah dan tangkapan telah dibuat.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku nmenikam si mati menggunakan pisau sambil disaksikan beberapa rakan serumah. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










