KLANG 8 Jun – Gara-gara tidak tahan dengan sikap teman wanitanya yang cemburu buta, seorang lelaki nekad membakar kekasihnya itu dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Seri Andalas, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam, mangsa yang bekerja sendiri mengalami kecederaan parah dengan 60 peratus tubuhnya melecur selepas suspek dikatakan menyimbah minyak petrol ke arah mangsa sebelum membakarnya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa sebelum kejadian dikatakan telah bertengkar dengan suspek yang bekerja sebagai mekanik di rumah lelaki itu yang dikenali lebih dari setahun lalu.
“Pertengkaran itu dipercayai berlaku kerana mangsa dikatakan mengesyaki suspek mempunyai teman wanita lain. Pertengkaran berlarutan sehingga menyebabkan suspek bertindak memukul mangsa dengan getah paip.
“Suspek kemudian menyimbah minyak petrol dan menyalakan api sehingga mangsa terbakar,” katanya yang turut menyatakan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini oleh bapa suspek yang menyedari kejadian tersebut selepas terbau benda terbakar semasa sedang tidur di bilik bersebelahan.
Menurut Shamsul Amar, suspek turut mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan akibat disambar api manakala mangsa pula dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan.
Ujarnya, ekoran kejadian itu, ibu mangsa yang berusia 52 tahun telah membuat laporan polis dan suspek ketika ini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.










