HANOI 11 Jun -Pihak berkuasa Vietnam menahan lebih daripada 100 orang penunjuk perasaan selepas melemparkan batu dan bom petrol ke bangunan kerajaan sehingga mencederakan berpuluh-puluh pegawai polis.
Agensi media tempatan, VnExpress melaporkan, demonstrasi yang berlaku di beberapa bahagian negara itu sebagai tindak balas kepada undang-undang berkaitan tiga zon ekonomi khas yang akan memberikan pajakan 99 tahun , menimbulkan kebimbangan tawaran itu akan jatuh ke tangan firma China di tengah-tengah ketegangan perbalahan merebut wilayah di Laut China Selatan .
Himpunan tunjuk perasaan paling besar ialah di wilayah pantai tenggara Binh Thuan, di mana beratus orang berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Jawatankuasa Rakyat di Phan Thiet melempar batu dan bom petrol.
VnExpress turut memetik kenyataan pihak berkuasa dengan berkata, 102 orang di bandar itu ditahan serta banyak harta awam turut rosak – AFP










