[VIDEO] MPM cadang tubuh panel penasihat diraja - Utusan Malaysia

[VIDEO] MPM cadang tubuh panel penasihat diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Jun – Majlis Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan agar sebuah panel penasihat diraja ditubuhkan khusus bagi memberi pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai isu-isu berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan serta kene­garaan.


Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, panel penasihat itu perlu dianggotai oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang tanpa mengira agama, kaum serta latar belakang bagi memastikan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua tertinggi negara memperoleh maklumat mengenai sesuatu perkara dengan telus dan mendalam.

“Kalau kita lihat sebagai contoh di United Kingdom (UK) terdapat sebuah panel penasihat yang dikenali sebagai Privy Council of the United Kingdom yang memberi nasihat kepada Ratu Elizabeth dalam pelbagai perkara berkaitan negara itu.

“Kita juga patut wujudkan panel penasihat ini yang terdiri daripada rakyat yang ada kepakaran dalam bidang masing-masing seperti mufti, bekas-bekas Panglima Angkatan Tentera, bekas Ketua Polis Negara dan pakar perunda­ngan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, jika wujud sebarang krisis seperti yang berlaku baru-baru ini iaitu melibatkan pelantikan Peguam Negara, panel penasihat terbabit dapat berperanan memberikan pandangan segera kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Selepas mendapatkan panda­ngan daripada panel penasihat ini terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan mengenai sesuatu perkara.

“Penubuhan panel penasihat ini perlu memandangkan MPM lihat pada masa ini institusi diraja perlu mendapatkan pandangan yang lebih komprehensif dalam sesuatu isu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Biro Perlembagaan MPM akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menyatakan panda­ngan dengan tepat dan penjelasan kepada rakyat berhubung isu berkaitan institusi diraja serta Perlembagaan Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN