[VIDEO] Maritim Malaysia tahan 14 perompak - Utusan Malaysia

[VIDEO] Maritim Malaysia tahan 14 perompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 1 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seramai 14 perompak warga Indonesia di atas kapal MT Bright pukul 6.25 pagi tadi di kedudukan kira-kira 25 batu nautika dari pantai Mersing.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, kesemua perompak berusia antara 35 hingga 53 tahun ditumpaskan Pasukan Tindakan Khas (PTK) selepas mereka melakukan rompakan ke atas sebuah kapal tangki MT Lee Bo di perairan Mersing.

“Siasatan awal mendapati kumpulan perompak itu menghampiri MT Lee Bo namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila mendapati kapal kargo itu tidak mempunyai muatan minyak. Oleh itu, perompak yang bersenjatakan parang dan pisau hanya mengambil barang peribadi milik kru kapal, iaitu komputer riba, telefon bimbit dan beg duit. 

“Penahanan ini adalah susulan penerimaan maklumat risikan mengenai sekumpulan perompak sedang merompak kapal tangki MT Lee Bo kira-kira pukul 4 pagi dengan menggerakkan tujuh anggota PTK bersama-sama helikopter AW 139 yang berlepas dari Kuantan ke perairan Mersing,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. 

Zulkifili berkata, kesemua perompak yang ditahan dibawa ke pejabat Zon Maritim Malaysia Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan. 

Dalam perkembangan berkaitan, rakan strategik Maritim Malaysia iaitu  Wastern Fleet Quick Response daripada Tentera Nasional Indonesia, Angkatan Laut (WFQR AL) dari Lantamal IV dan Lanal Batam turut berjaya menahan dua lelaki di Batam yang dipercayai  perancang utama kes rompakan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN