KUALA PILAH 24 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera di bahagian punggung kiri dan kedua-dua tangan akibat digigit seekor beruk di Kampung Bukit Perah, Batu Kikir, Jempol kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, Muhammad Syafi Kaharudin yang menghidap autisme sedang bermain basikal seorang diri di rumah neneknya.
Menurut ibu mangsa, Siti Arneda Muhammad, 42, ketika itu dia berada di pekan Batu Kikir bersama dua lagi anaknya dan dimaklumkan tentang kejadian itu oleh ibunya.
“Saya terus pulang ke rumah dan melihat anak bongsu saya meraung kesakitan dalam keadaan berlumuran darah.
“Ketika ditanya, dia memberitahu telah digigit oleh seekor beruk semasa bermain di luar rumah,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini hari ini.
Kata Siti Arneda, anaknya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Juasseh untuk dirawat sebelum dihantr ke HTAN dan terpaksa menerima beberapa lapan jahitan di tangan dan dua jahitan di punggung.
“Memang ada seekor beruk yang kerap berkeliaran di kawasan rumah ibu saya tetapi tak pernah bertindak agresif sehingga menyerang penduduk,” ujarnya.
Katanya, dia telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya tindakan menangkap beruk itu dapat dijalankan. – UTUSAN ONLINE










