KUALA LUMPUR 5 Jun – Dua bekas editor Utusan Malaysia hari ini menyatakan rasa kesal bahawa akhbar yang pernah mereka pimpin masih terperangkap dalam kepompong sempit dan penuh dengan prasangka.
Dalam satu kenyataan keras hari ini, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Johan Jaaffar berkata, akhbar itu menampakkan pendirian rasis dengan memainkan sentimen perkauman yang berbahaya untuk sebuah negara pelabagai kaum seperti Malaysia.
Memetik isu terkini mengenai pelantikan Peguam Negara yang baru, mereka mengatakan adalah tidak dapat diterima apabila Utusan Malaysia bermain api dengan cuba menyemarakkan sentimen kebencian dan keresahan orang Melayu dan orang Islam terhadap pelantikan seorang bukan Melayu dan bukan Islam ke jawatan itu.
Cara Utusan Malaysia, menurut mereka, memberikan gambaran seolah-olah agama Islam dan kepentingan Melayu akan terjejas dengan pelantikan peguam kanan Tommy Thomas.
“Kami bersyukur satu lagi kemungkinan krisis dapat dielakkan apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Malahan, kata mereka Utusan Malaysia telah dipersalahkan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14. UMNO mempunyai saham dalam Utusan Malaysia.
Zainuddin yang memegang jawatan Ketua Pengarang dari 1981 hingga 1992 manakala Johan Ketua Pengarang dari 1992 hingga 1998 mengakui bahawa UMNO dahulu pernah memperlihatkan kadar toleransi yang tinggi dan mengekalkan prinsip perpaduan antara kaum. – BERNAMA











