KOTA KINABALU 9 Jun – Satu usul menyokong pelantikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri dijangka dibentang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Sabah yang akan diadakan Isnin ini.
Menurut sumber, pembentangan usul itu dipercayai bertujuan memuktamadkan sokongan terhadap Mohd. Shafie yang kedudukannya di kerusi itu dicabar melalui satu saman mahkamah oleh penjawatnya sebelum ini, Tan Sri Musa Aman.
“Sidang khas berkenaan juga bagi memastikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat mengangkat sumpah dan menzahirkan sokongan kepada beliau” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Khamis lalu, Timbalan Yang Dipertua DUN Sabah, Datuk Ahmad Abdul Rahman juga telah mengangkat sumpah jawatan itu dan dijangka mempengerusikan persidangan khas berkenaan.
Dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, kerajaan negeri Sabah tergantung apabila tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah iaitu Barisan Nasional (BN) sebanyak 29 kerusi manakala pakatan Warisan, DAP dan PKR mendapat 29 kerusi serta dua kerusi lagi milik Parti Solidariti Tanahairku (Star).
Keesokannya, Musa berjaya membentuk kerajaan selepas dua ADUN Star menyatakan sokongan untuk membentuk kerajaan campuran dan beliau telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di depan Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.
Bagaimanapun, dua hari kemudian, beliau hilang sokongan apabila enam ADUN BN bertindak keluar parti dan menyokong Warisan yang membolehkan Mohd. Shafie pula dilantik Ketua Menteri di Istana Negeri.
Polemik politik tersebut menyebabkan Musa memfailkan saman ke atas Juhar dan Mohd. Shafie bagi membatalkan pelantikan itu serta membolehkan dirinya diisytihar sebagai Ketua Menteri yang sah.
Kes tersebut dijangka didengar di Mahkamah Tinggi pada 9 Julai ini. – UTUSAN ONLINE










