UMNO Perlis kecewa tindakan Ismail keluar parti - Utusan Malaysia

UMNO Perlis kecewa tindakan Ismail keluar parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Tindakan nekad Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang keluar UMNO amat mengecewakan kepimpinan parti peringkat negeri itu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Ismail sepatutnya memaklumkan kepada pucuk kepimpinan parti sebelum mengambil keputusan drastik tersebut.

“Kami hanya mengetahui perkara itu hanya melalui laporan media dan tindakan itu amat mengecewakan.

“Sebagai ahli UMNO, kita telah menyokong beliau (Ismail) selama ini. Mungkin dia ada alasan tersendiri dan kita hormati keputusannya.

“Namun, saya berharap pemimpin UMNO lain tidak mengikuti jejak langkah Ismail keluar parti kerana isu kritikal yang perlu diberi perhatian ialah kembali fokus mengukuhkan parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kosmo! melaporkan hari ini,  Ismail mengumumkan keluar UMNO selepas mendakwa telah hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

Katanya, keputusan itu berdasarkan beberapa faktor dan antaranya ialah beliau sudah hilang keyakinan kepada pucuk kepimpinan parti.

Beliau merupakan adik bongsu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ismail merupakan satu-satunya ADUN BN yang tidak terpilih sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis.

Sembilan ADUN BN lain termasuk Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man terpilih.

BN memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu apabila memenangi 10 daripada 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN