Uda Ancasa labur RM31 juta - Utusan Malaysia

Uda Ancasa labur RM31 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Uda Ancasa Sdn. Bhd. (Uda Ancasa) pengendali rangkaian jenama Ancasa Hotels & Resorts, memperuntukkan pelaburan bernilai RM31 juta pada tahun ini bagi menaik taraf dua hotelnya, Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur dan Ancasa Residences Port Dickson, Negeri Sembilan.

Naib Presiden Kanan, Bahagian Hartanah, Shah Azam Khan berkata, bagi Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur sahaja, sebanyak RM16 juta diperuntukkan khusus untuk menaik taraf hotel tersebut menjadi empat bintang, daripada tiga bintang sebelum ini.

“Ia melibatkan kerja-kerja pembinaan kolam renang serta penambahbaikan hiasan dalaman dan luaran dengan jangkaan siap pada hujung tahun ini.

“Manakala bagi Ancasa Residences Port Dickson pula, sebanyak RM15 juta pelaburan diperuntukkan untuk menaik taraf 197 unit bilik secara berperingkat, kemudahan dan hiasan dalaman, yang juga dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Ancasa Hotels & Resorts dan pelancaran promosi Kampong Boy di Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur dan Ancasa Residences Port Dickson, setakat ini, Uda Ancasa, yang merupakan anak syarikat milik penuh Uda Holdings Bhd. mengendalikan dua lagi hotel iaitu Ancasa Royale Pekan, Pahang dan Ancasa Express @ Pudu, Kuala Lumpur.

Sementara itu, ditanya mengenai prospek bagi Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur, Shah Azam berkata, pihaknya me­nyasarkan kadar penginapan sebanyak 63 peratus untuk sepanjang tahun ini, hampir sama dengan kadar 62 peratus yang dica­tatkan pada tahun lepas.

“Dengan kerja-kerja penaiktarafan yang sedang dilaksanakan serta adanya beberapa tingkat yang ditutup, kami menjangkakan kadar penginapan sedikit menyederhana pada tahun ini, dan akan bertambah baik pada tahun depan.

“Bagaimanapun, untuk tempoh suku pertama sahaja, hotel ini telah berjaya mencapai 58 peratus kadar penginapan, dan kami yakin mampu mengimbanginya dengan memberi penekanan kepada bahagian makanan dan minuman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shah Azam menjelaskan, Uda Ancasa kini turut memberi fokus untuk membawa masuk lebih banyak pelanggan yang merupakan pelancong luar negara terutamanya pasaran baharu seperti Pakistan, Oman dan Jordan.

Menurutnya, pada masa ini, kira-kira 22 peratus pelanggan hotel tersebut terdiri daripada pelancong luar dan selebihnya ialah rakyat tempatan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan produk dan menjadi pengedar, boleh menghubungi di talian 013-641 6426.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN