KUALA LUMPUR 3 Jun – MisterTyre menawarkan pembaca Utusan Malaysia diskaun eksklusif bernilai RM30 bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.
Pembaca hanya perlu memasukkan kod promo UTUSAN30, sebelum membuat sebarang bayaran tempahan dalam talian menerusi aplikasi telefon pintar MisterTyre yang sah sehingga 31 Julai ini.
MisterTyre merupakan sebuah ‘bengkel bergerak’ pertama di Malaysia yang menawarkan empat perkhidmatan servis iaitu penukaran tayar, minyak enjin, bateri serta penjajaran dan penggiliran.
Ketua Pegawai Operasi MisterTyre, Suman Mathevan berkata, promosi tersebut diadakan bagi memudahkan urusan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman dengan ketenangan fikiran.
“MisterTyre mengingatkan orang ramai sentiasa memastikan tayar mereka berada dalam keadaan baik terutama sempena musim perayaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, perkhidmatan MisterTyre adalah untuk orang ramai yang tidak memiliki masa terluang bagi membuat servis kereta.
Dengan menggunakan sebuah van panel Ford Transit, MisterTyre akan tiba di lokasi tertentu yang dikehendaki pelanggan sama ada di rumah atau pejabat, mengikut masa yang dipilih pelanggan.
Khidmat MisterTyre disediakan setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.
“Walau bagaimanapun, buat ketika ini perkhidmatan tersebut hanya boleh didapati untuk pelanggan di Lembah Klang sahaja,’’ kata Suman.
Menurut beliau, MisterTyre menawarkan jaminan harga terbaik iaitu jika pelanggan mampu mengemukakan bukti resit yang mengatakan mereka mendapat perkhidmatan lebih murah, MisterTyre akan membayar perbezaan harga terbabit.
“Keistimewaan MisterTyre adalah ia mempunyai sebanyak 26 jenama tayar, empat jenama bateri serta lapan jenama minyak enjin, berbeza dengan kedai fizikal yang selalunya kurang pilihan.
“Selain itu, MisterTyre turut akan melakukan pemeriksaan 12 titik percuma buat semua pelanggannya untuk memastikan setiap aspek utama kereta mereka dipantau secara baik,’’ ujarnya.
Malah, mereka akan menghantar peringatan melalui aplikasi tentang ketebalan disk, prestasi bateri serta juga tarikh servis seterusnya, tamat cukai jalan dan lesen memandu.
Setiap perkhidmatan yang ditawarkan adalah selari dengan era digital yang mana semuanya secara dalam talian, termasuk urusan pembayaran melalui kredit, debit atau pemindahan bank. MisterTyre boleh didapati di kedua-dua Apple Store dan Google Play.









