BINTANG pecut 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian memasang impian menamatkan penantian 64 tahun skuad olahraga kebangsaan memenangi pingat emas dalam acara itu pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos depan.
Bagaimanapun, Rayzam, 30, sedar dia bakal berdepan rintangan menggunung untuk muncul sebagai pelari pertama negara menjuarai acara 110m lari berpagar di pentas Sukan Asia sejak edisi pertama kejohanan itu di Manila, Filipina pada 1954.
Pencapaian terbaik negara menerusi Ishtiaq Mubarak dengan pingat perak pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Terdahulu, bekas jagoan negara itu memenangi tempat ketiga pada temasya edisi 1966 di Bangkok, Thailand.
Kali terakhir atlet negara menaiki podium untuk acara itu ialah legenda pecut kebangsaan, Nur Herman Majid sewaktu meraih tempat ketiga dengan catatan rekod kebangsaan, 13.73 saat (s) pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun.
Rayzam yang meleburkan rekod kebangsaan itu dengan catatan 13.67s pada Kejohanan Kurpfalz Gala di Mannheim, Jerman tahun lalu bertekad menamatkan penantian tersebut meskipun sedar ia bukan satu tugas mudah di Jakarta, Ogos depan.
“Pengalaman dan kenangan sewaktu KL2017 (Sukan SEA Kuala Lumpur 2017) cukup bermakna buat diri saya, apatah lagi ini adalah pingat emas pertama saya selepas kali terakhir memenanginya 10 tahun lalu (Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand).
“Saya perlu konsisten dengan larian kerana tidak mustahil saya mampu menang pada Sukan Asia 2018. Bagaimanapun, ia bukan mudah kerana rekod kebangsaan milik saya sekarang cuma membolehkan saya menang pingat gangsa.
“Apa yang perlu saya lakukan adalah terus berusaha memastikan rekod peribadi diperbaharui agar membuka peluang untuk bersaing merebut pingat emas. Namun, saya akui ia bukan mudah,” katanya.
Pemenang pingat emas KL2017 itu perlu memecahkan rekod kebangsaannya terlebih dahulu dengan catatan 13.66s untuk layak ke Jakarta atas tiket kategori A yang ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Ia berikutan langkah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menetapkan syarat kelayakan baharu iaitu tempat keempat terbaik pada Sukan Asia lalu buat para atlet melayakkan diri atas tiket kategori A.
Jaguh dari Keningau, Sabah itu perlu memberikan prestasi terbaiknya sepanjang menjalani kem latihan di Liepzig, Jerman dan menghadapi lima kejohanan di sekitar Eropah sebelum pulang ke tanah air pada 1 Julai depan.
Catatan Rayzam pada tahun ini kurang memberangsangkan apabila dia sekadar mencatatkan 14.01s (Pra Sukan Asia di Jakarta, Februari lalu), 14.03s (Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April) dan 14.12s pada Terbuka Malaysia 2018 bulan lalu.
Pada kejohanan pertama di Leipzig baru-baru ini, Rayzam sekadar mencatatkan 14.20s dan perlu cepat menyesuaikan diri dengan faktor serta keadaan cuaca di sana agar kembali menemui rentak larian terbaiknya secepat mungkin.
Apa tidaknya, jika Rayzam berjaya menemui prestasi terbaiknya, dia adalah pertaruhan terbaik skuad olahraga negara untuk menamatkan kemarau pingat emas 110m lari berpagar negara pada temasya berprestij Sukan Asia.
Cabaran terbesar Rayzam pada Sukan Asia 2018 nanti semestinya daripada kuasa besar rantau Asia seperti China, Korea Selatan dan Jepun.











