Trump, Jong-un bertemu hari ini - Utusan Malaysia

Trump, Jong-un bertemu hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong-un semalam melakukan persiapan terakhir menjelang sidang kemuncak bersejarah mereka ketika pegawai kedua-dua negara cuba merapatkan jurang perbezaan berhubung simpanan senjata nuklear Pyongyang.

Pertemuan hari ini adalah yang pertama antara Presiden AS dan pemimpin Korea Utara dan berlaku beberapa bulan selepas Trump dan Jong-un berbalas penghinaan dan ancaman perang.

“Saya fikir ia akan berjalan dengan baik,” kata Trump semasa makan tengah hari bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di kediaman rasmi beliau, Istana. Sidang kemuncak itu diadakan di Singapura.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di belakang tabir pula, pegawai-pegawai berbincang selama hampir tiga jam di sebuah hotel neutral di Singapura dalam usaha merapatkan perbezaan pendapat mengenai terma perlucutan senjata nuklear yang membawa maksud berlainan kepada Washington dan Pyongyang.

Diplomasi yang berlaku adalah di luar jangkaan, berbeza dengan persengketaan pada tahun lalu apabila Trump mengancam untuk melepaskan ‘api dan kemarahan’ terhadap Korea Utara dan Jong-un menggelar beliau sebagai ‘terencat akal’.

Sidang kemuncak itu turut mencerahkan harapan untuk mencapai perjanjian damai bagi menamatkan Perang Korea secara rasmi. Perang itu adalah legasi terakhir Perang Dingin dan berakhir dengan gencatan senjata.

“Kedua-dua pemimpin akan bertemu secara empat mata sebelum mengadakan rundingan lebih besar melibatkan penasihat daripada kedua-dua negara,” kata beberapa pegawai AS.

Menurut seorang pegawai kanan White House pula, Trump ‘berasa baik’ dan sidang kemuncak itu akan berlangsung tanpa jangka masa tertentu.

“Ia boleh jadi dua hari. Mereka (Trump dan Jong-un) akan bercakap selama mana yang mereka perlu,” katanya.

Washington menuntut Korea Utara menyerahkan semua senjata nuklearnya, manakala Pyongyang sehingga kini hanya menyuarakan komitmen terbuka untuk menjadikan Semenanjung Korea bebas daripada senjata nuklear. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini